Aku, aki, kouyou dan momiji 🍁

10 gatsu, nihon wa aki desu. (bulan Oktober, musim luruh di Jepun). Aki wa kirei na kisetsu desu (Musim luruh adalah musim yang cantik). Bukan sahaja  merupakan satu musim yang  cantik, yang berwarna-warni, ada banyak perkara yang kita boleh belajar daripada musim luruh ini.

Bagi negara bermusim seperti Nihon, aturan musim adalah bermula daripada Haru (musim bunga), Natsu( musim panas), Aki (musim luruh) dan Fuyu (musim sejuk).  Haru biasanya bermula daripada san-gatsu (Mac) hingga go-gatsu (Mei).

Jika dihitung, perjalanan setiap musim ini akan mengambil masa selama lebih kurang san-ka-getsu-kan (3 bulan) sebelum ia berakhir, untuk melengkapkan kitaran masa ichi-nen (setahun).

Oleh kerana bahagian utara Jepun (termasuk Hokkaido) lebih sejuk berbanding bahagian lain, Aki dan Fuyu akan lebih awal menjengah di kawasan utara. Sebaliknya, Haru dan Natsu pula akan awal tiba di bahagian-bahagian lain, terutamya bahagian selatan.

Setiap musim ada keistimewaan dan daya penariknya yang tersendiri (di mana ketika musim panas yang cuacanya adalah seperti di negara-negara khatulistiwa, kadang-kadang kepanasannya adalah lebih panas daripada negara kita). Untuk topic kita pada kali ini, saya mahu bercerita tentang Aki.

Aki menjadi cantik ketika dedaunan mula bertukar warna, daripada midori (hijau) ke kiiro (kuning), ke orenji (oren) dan ke akai (merah). Perubahan warna dedaunan yang menarik dan cantik ini dikenali sebagai ‘kouyou’ (daun bertukar warna / warna-warna musim luruh). Kouyou boleh dilihat dengan lebih jelas dan cantik di kawasan yang mempunyai banyak pokok-pokok, terutamanya di kawasan ike (tasik), oka (bukit) atau yama (gunung). Manakala itu, pokok yang sangat sinonim dengan Aki di Nihon ialah ‘momiji’ (Japanese maple).

Nihonjin (orang Jepun) mengatakan Aki sebagai, “shoku-yoku no aki”, iaitu secara ‘direct’nya bermaksud “musim luruh yang berselera”.  Kenapa pula berselera? Ini adalah kerana semasa Aki, kebanyakan sumber makanan yang diperolehi adalah oishi-i (sedap) belaka. Bayangkan selepas musim panas yang terik, suhu semakin menurun dan cuaca mula bertukar menjadi dingin. Pada ketika ini lah tumbuh-tumbuhan yang telah berbuah mula bertindakbalas dengan perubahan cuaca dan memberi hasilan yang enak.  

Aki no kudamono (buah-buahan musim luruh) yang sering menjadi pilihan dan popular ialah seperti ringo (epal), kuri (buah berangan), satsumaimo (ubi keledek), kaki (buah pisang kaki), budou (anggur), nasu (terung) dan kabocha (labu). Bukan sahaja kudamono, padi juga menghasilkan beras baru yang enak. Ia dikenali sebagai ‘shinmai’ (beras baru).

Selain kudamono atau yang tumbuh di daratan, ada juga makanan ketika Aki yang tumbuh di kawasan berbukit/gunung, iaitu matsutake (cendawan matsutake). Cendawan ini sangat mahal tau. Untuk 100gm yang bergred tinggi, harganya mungkin boleh mencecah lebih kurang RM500. Cendawan ini sangat mahal kerana ia hanya boleh ditemui di kawasan tinggi, di mana ia memerlukan kudrat manusia untuk mendaki kawasan tinggi dan mencari nya dengan gigih di kawasan yang mungkin berbahaya. Ia juga  adalah spesis  cendawan yang tidak boleh ditanam/diternak.

Selain tumbuhan di daratan dan gunung, hasil dari lautan semasa Aki juga sangat enak dan ditunggu-tunggu. Ketika Aki , suhu air yang dingin menjadikan laut sebagai persekitaran yang sangat sesuai untuk hidupan laut membiak. Hasilan laut ketika Aki adalah seperti sanma (ikan sanma / ikan sauri pasifik), uni (landak laut), unagi (belut), kani (ketam), ebi (udang), saamon (ikan salmon) dan ikura (telur ikan salmon). Bukan sahaja laut, hidupan di sungai juga memberikan hasil yang terbaik. Malah, di sesetengah tempat yang agak sejuk, salmon juga boleh ditemui di sungai.

Ada juga beberapa wilayah di Nihon (Jepun) yang menjadikan Aki sebagai satu musim untuk mengadakan acara tahunan, biasanya dinamakan sebagai Aki Festival . Festival sebegini turut merupakan satu platform untuk menarik minat pelancong setempat dan luar negara datang ke tempat mereka. Berbagai hasilan darat dan laut digunakan dan dijadikan sajian yang menarik untuk dinikmati oleh para pengunjung.

Hait, aki wa hontou ni kirei de, miryoku-teki desu. (Ya, sememangnya Aki itu cantik dan menarik). Bayangkan kita berada di dalam persekitaran berwarna-warni musim luruh sambil menikmati makanan yang enak, dengan angin yang bertiup dingin. Tapi adakah kita menyedari bahawa ketika kecantikan dan daya penarik Aki memunculkan diri, sebenarnya ia mengajar kita beberapa perkara yang bernilai di dalam hidup?. Yang saya maksudkan bernilai itu adalah :

  1. Aturan dan Kejadian Tuhan

Begitu cantik aturan musim dan kejadian yang berlaku si setiap musim. Siapalah kita untuk tidak menidakkan kekuasaan Tuhan yang mencipta sekalian alam ini.

  • Belajar bersyukur

Musim datang dan pergi. Belajarlah bersyukur untuk setiap musim yang kita lalui. Jika di Malaysia kita hanya ada musim panas dan hujan, maka kita juga seharusnya bersyukur di atas keseimbangan cuaca yang kita perolehi di negara kita. Mungkin kita tak suka jika cuaca sentiasa panas, tapi kita akan merinduinya apabila hujan turun selebat-lebatnya atau ketika banjir melanda. Ada masanya kehidupan kita akan gembira di saat panas, berduka di saat hujan, dan sebaliknya.  Jika kita sentiasa bersyukur, pasti  kita dapat mencapai keseimbangan dalam kehidupan.

  • Belajar menerima perubahan

Aki menunjukkan perubahan yang berlaku pada dedaunan yang hijau. Daun yang hijau sihat bertukar ke warna-warna lain sedikit demi sedikit dan akhirnya gugur sebelum tibanya Fuyu. Ketika Fuyu, daun-daun yang telah gugur meninggalkan ranting kesepian, menunggu salji untuk berpaut seketika di ranting. Di musim seterusnya, iaitu Haru, daun-daun baru akan mula tumbuh, menghasilkan pokok ‘yang baru’. Ketika Natsu pula, pokok-pokok ini akan memberikan lambaian bayu dan melindungi kita dari kepanasan,  hinggalah berjumpa kembali dengan Aki yang seterusnya,  kitarannya sentiasa sama.

Begitu juga dengan kehidupan kita, selalu mengalami perubahan. Kita mesti bersedia untuk menerima dan mengalami perubahan, dan meneruskan kehidupan yang baru. Jika ada perubahan yang perlu dilepaskan, biarkan sahaja ia pergi. Mudah-mudahan apa yang telah pergi itu digantikan pula dengan sesuatu yang lebih baik.

Kesimpulannya, kehidupan kita dan musim yang silih berganti saling berkait. Hargai lah setiap musim yang tiba dan berterima kasih lah untuk musim yang telah berlalu. Tidak semua manusia di dunia ini dapat merasai pengalaman hidup di negara bermusim, dan tidak semua yang tinggal di negara bermusim itu selesa dengan persekitaran mereka. Di mana pun kita tinggal, yang penting adalah kita dapat hidup dengan aman dan sejahtera.

Sekian sahaja topik kita untuk kali ini. Diharapkan anda telah belajar sesuatu yang baru.

Jika mahu belajar lagi dengan lebih mendalam dan bersistem, sila layari laman sesawang saya ini , ataupun klik di link bawah gambar ini ! Yoroshiku onegai shimasu ~

Genki de, mata ne~ (Ceria selalu, sehingga berjumpa lagi~ )

About the author: AzlanSensei ™

Keadah pembelajaran bahasa Jepun yang dibuat khas untuk pelajar dewasa dengan menggunakan kaedah unik yang dinamakan sebagai ASSIIM (Azlan Sensei Special Indirect & Integrated Method)