ANTARA SUKA, KASIH DAN CINTA DALAM BAHASA JEPUN

Bercakap tentang suka dan cinta, rasanya ramai yang tahu membezakan akan penggunaan perkataan suka dan cinta. Ambil contoh yang paling mudah. “saya sukakan awak” vs. “saya cintakan awak”. Perhatikan, ada perbezaan pada maksudnya. Dalam nihongo (bahasa Jepun) juga sama, kerana ada perbezaan di antara penggunaan kedua-dua perkataan ini.


Dalam nihongo, ‘suka’ disebut sebagai ‘suki’ (eh, dekat-dekat sahaja bunyi nya kan, seperti perkataan ‘nama’ dan ‘namae’). Manakala, cinta pula terbahagi kepada dua, iaitu ‘koi’ dan ‘ai’, di mana terdapat perbezaan nuansa bagi ‘koi’ dan ‘ai’. Maksudnya di sini, untuk ‘koi’ dan ‘ai’, kita tak boleh gunakan dengan sewenang-wenangnya walaupun maksudnya sama. Takut nanti apa yang kita nak perkatakan itu maksudnya tidak kesampaian, tidak jelas, menjadi makna yang pelik, atau menjadi sesuatu yang melucukan. Bunyinya seperti agak rumit pula. Tak mengapa, mari kita lihat dengan lebih mendalam tentang perkataan ‘suki’, ‘koi’ dan ‘ai’ ini untuk pemahaman yang lebih jelas.

(1) Suki (すき ; 好き)
Merupakan satu kata nama, dan juga ‘na’ adjektif. Boleh digunakan untuk benda hidup dan benda bukan hidup.
 Neko ga suki desu (saya suka kucing).
 Sushi ga suki desu (saya suka sushi).
 Ryokou ga suki desu / ryokou wo suru koto ga suki desu (saya suka melancong) *
 Kimi / Anata no koto ga suki desu (saya suka awak) **
 Suki na tabemono wa nan desu ka (apakah makanan yang awak suka?)
 Suki na hito ga imasu (saya ada orang yang saya suka … maksud lain ialah ‘saya sukakan seseorang’)
 Sukikirai ga takusan arimasu (banyak yang saya suka dan tak suka … dalam ertikata lain, ‘saya seorang yang cerewet’)

*Untuk kojugasi kata kerja seperti ‘ryokou wo shimasu’, kita boleh gunakan samada ‘ryokou’ sahaja (kata nama ; menjadi frasa ‘ryokou ga’) atau ‘ryokou wo suru’ (plain form ; menjadi frasa ‘ryokou wo suru koto ga’)

**Ayat ini biasanya digunakan ketika mengucapkan perasaan suka kepada seseorang. Perkataan ‘kimi’ digunakan oleh lelaki kepada wanita, dan ‘anata’ digunakan oleh wanita kepada lelaki (ada juga lelaki kepada wanita). Dalam konteks ini, penggunaan ‘anata’ lebih kepada menekankan perasaan suka kepada orang yang berkenaan, dan bukannya bermaksud bahasa kasar/tidak hormat.


Nota :

  1. Jika suka adalah suki, bagaimana pula dengan sangat suka? Untuk sangat suka, kita boleh sebutnya sebagai ‘totemo suki’ atau ‘daisuki’. Seperti dalam lirik lagu animasi Doraemon, ada perkataan ‘totemo daisuki’. Maksudnya di sini ialah ‘sangat-sangat suka’.
  2. Untuk maksud ‘tak suka’, kita boleh gunakan perkataan ‘suki dewa arimasen’ atau ‘kirai desu’. ‘Kirai’ ialah perkataan antonim kepada ‘suki’.
  3. Kadang-kadang , dalam perbualan seharian, kita akan berkata ‘ikut suka awak lah’. Dalam nihongo, ia disebut sebagai ‘suki ni shite kudasai’. Cuma, frasa ini adalah frasa yang tidak formal. Gunakan untuk kawan rapat atau ahli keluarga terdekat sahaja. Elakkan berkata begini kepada orang yang lebih berumur atau lebih berpangkat dari anda, ya.

(2) Koi (こい ; 恋)
Merupakan satu kata nama, bermaksud ‘cinta’. Dalam bentuk konjugasi kata kerja, frasanya adalah ‘koi shimasu / koi wo shimasu’ (bercinta) dan juga ‘koi ni ochimasu’(jatuh cinta). Perkataan ‘koi’ digunakan untuk menggambarkan keadaan ‘cinta’ kepada manusia. Tidak semestinya kepada kekasih atau orang yang kita cintai, tetapi boleh juga kepada seseorang yang membuatkan kita sangat suka melihatnya seperti pelakon mahupun idola.

 Koukousei no toki, Erika-san ni koi wo shimashita (ketika di sekolah menengah tinggi, saya mencintai Erika-san).
 Ima, daigaku jidai no senpai to koi shite imasu (sekarang, saya sedang bercinta dengan senior ketika di universiti)
 Ano geinin wa totemo hansamu desu. Sugu kare ni koi ni ochimashita. (Pelakon lelaki itu sangat kacak. Saya terus jatuh cinta kepada nya)

Antara perkataan lain yang terbit daripada ‘koi’ ini, misalnya ‘koibito’ (kekasih ) , ‘koibito doushi’ (pasangan kekasih) dan hatsukoi (cinta pertama).
 Kanojo wa watashino koibito desu (Dia ialah kekasih saya).
 John-san to Erika-san wa koibito doushi desu (John dan Erika ialah pasangan kekasih)
 Watashino hatsukoi wa ima Kanada ni sunde-imasu (cinta pertama saya sekarang ini menetap di Kanada).

sila klik di sini >>> www.azlansensei-e-learning.com/p/kelas-jepun-online

(3) Ai (あい; 愛)
Juga membawa maksud ‘cinta / sayang’. Dalam bentuk konjugasi kata kerja, frasanya adalah ‘ai shimasu‘ . Perkataan ‘ai’ digunakan bukan sahaja untuk manusia, tetapi untuk perkara lain seperti negara dan musim (seperti musim bunga, musim luruh).

 Aishiteiru yo (saya cintakan awak) *
 Kazoku wo ai shimasu (saya sayang keluarga saya)
 Mareeshia wo ai shimasu (saya sayang Malaysia)
 Ai suru hito wa san-nen-mae ni naku narimashita (orang yang saya sayang telahpun meninggal tiga tahun yang lalu)

*Ayat ini biasanya digunakan ketika mengucapkan perasaan cinta kepada seseorang, tidak kira daripada lelaki kepada wanita ataupun sebaliknya. Ayat yang formal ialah ‘aishiteimasu’.

Jadi, bagaimana? Boleh tak anda nampak perbezaan di antara ‘koi’ dan ‘ai’? Antara perbezaan yang ketara ialah ‘koi’ ini lebih kepada sifat ‘mahu’, manakala ‘ai’ pula lebih kepada sifat ‘memberi dan menerima’, di mana ia banyak melibatkan perasaan kasih sayang yang mendalam dan tidak terbatas. Dalam kebanyakan senario, penggunaan ‘ai’ adalah lebih umum dan meluas jika dibandingkan dengan ‘koi’.


Itulah sedikit kupasan dari saya tentang ‘suka dan cinta’. Kata orang, suka tak semestinya cinta, tapi cinta pula semestinya sebab kita suka. Dalam hidup ini, mungkin kita suka akan sesuatu tetapi ia tak sesuai dengan kita. Mungkin juga kita tak suka akan sesuatu, tetapi itu lah yang terbaik untuk kita.

Saya harap anda telah belajar sesuatu mahupun mendapat pengetahuan yang baru di dalam nihongo melalui perkongsian saya ini. Jika mahu belajar lagi dengan lebih mendalam dan bersistem, sila layari laman sesawang saya ini , okay! Yoroshiku onegai shimasu ~
Sekian sahaja topik santai kita untuk kali ini. Genki de, mata ne~ (Ceria selalu, sehingga berjumpa lagi~ ).

About the author: AzlanSensei ™

Keadah pembelajaran bahasa Jepun yang dibuat khas untuk pelajar dewasa dengan menggunakan kaedah unik yang dinamakan sebagai ASSIIM (Azlan Sensei Special Indirect & Integrated Method)