IRASSHAI 2020!

IRASSHAI 2020 !

Mina-san (anda semua),

Ogenki desuka (apa khabar)? Pernah tak anda dengar perkataan ‘irasshaimase’ jika anda memasuki kedai bercirikan Nihon (Jepun)? Ya, maksud ‘irasshaimase’ adalah ‘selamat datang’, dan ia digunakan sebagai ucapan untuk menyambut tetamu, seperti di kedai atau tempat jualan. Bagaimana pula dengan ‘irasshai’? Irasshai pula adalah satu ucapan hormat untuk sesuatu yang datang, pergi mahupun tinggal. Contohnya jika ada rakan mengunjungi kita di rumah, sampai sahaja dia di depan pintu rumah, kita ucapkan ‘irasshai’ pada dia. Kemudian ketika dia pulang, kita berikan dia buah-buahan yang kita tanam di rumah, kita boleh katakan pada dia ‘hait, motte irassahai’ (nah, bawalah pergi/pulang).

Ni-sen-ni-jyuu-nen ga touchaku-shimashita (Tahun 2020 telah tiba). Irasshai ni-sen-ni-jyuu (2020)! (Selamat datang 2020!). Maknanya sudah dua dekad berlalu semenjak tibanya alaf baru. Yang lahir di tahun 2000, sekarang telahpun dewasa, berumur 20 tahun. Pastinya ramai yang menantikan kedatangan 2020, kerana sejak kecil lagi ramai antara kita mendengar tentang Wawasan 2020. Itu wawasan negara, tapi apa pula wawasan anda? Saya harap anda melakukan keikaku (perancangan) yang baik di tahun baru ini untuk menjayakan apa sahaja wawasan yang anda ingin lakukan, agar hasilnya memuaskan.

Mendengar sahaja perkataan keikaku untuk tahun baru, apakah respon minda kita? Barangkali seronok? Ataupun bagi mereka yang bekerja, rasa serabut sebab asyik perkara yang sama sahaja berulang di setiap tahun? Tidak kurang juga mungkin terdetik di hati “kalau nak buat keikaku, mesti buat dengan elok, supaya tidak merasa pelik melihat keikaku sendiri, ataupun keikaku tu nanti bakal diketawakan oleh orang lain”. Itu ini begitu begini, kemungkinan besar keikaku  yang kita buat akan terhalang mahupun terbantut, dan akhirnya hanya tinggal kehampaan.

Agaknya apakah alasan yang paling relevan sekiranya sesuatu keikaku itu  tidak berjaya untuk diteruskan dan dilaksanakan? Jawapannya ialah keikaku yang dibuat itu tidak sesuai dengan apa yang diri kita boleh buat dan mampu buat. Ada kata pepatah dalam nihongo (bahasa Jepun) yang berbunyi ‘bun-sou-ou ni kurasu’, bermaksud ‘hiduplah dengan cara sendiri’. Rasanya dalam bahasa kita, ia hampir kepada peribahasa  ‘ukur baju di badan sendiri’. Oleh itu, buatlah keikaku mengikut kebolehan dan kemampuan diri kita. Bagi yang bekerja, mungkin pihak pengurusan sudah menetapkan skop kerja dan keikaku untuk tahun mahupun tempoh berkenaan. Jadi, terimalah ia dengan hati terbuka dan rancang bagaimana cara terbaik untuk menjayakannya. Buat keikaku anda sendiri mengikut pengalaman kerja anda.

Soshitara, donna keikaku wo sureba ii desuka (Jadi, perancangan bagaimana yang harus dibuat)? Mungkin ada beberapa kihon keikaku (perancangan asas) yang perlu kita lakukan, misalnya :

  1. Meletakkkan peringatan di dalam kalendar.

Di samping menggunakan cara manual seperti penggunaan techou (diari) dan te-buru karenda- (kalendar meja), dasawarsa ini kita boleh menggunakan gajet mahupun alatan seperti sumaho (smart phone) dan komputer untuk meletakkan peringatan di dalam kalendar. Letak lah peringatan pada tarikh-tarikh penting seperti tanjyoubi (hari lahir), uchiawase (temu janji / appointment), kaigi (mesyuarat),  kinenbi (ulang tahun), ryokou (percutian), shiken (peperiksaan), unten menkyo no koushin (pembaharuan lesen memandu dan marason taikai (pertandingan maraton). Mungkin juga di samping peringatan pada tarikh yang berkenaan, anda boleh juga letak pra-peringatan dalam 2~3 hari sebelum tarikh tersebut, supaya anda ada masa untuk menyediakan perkara yang perlu. Semoga anda tidak akan terlepas tarikh-tarikh penting yang bakal berlaku nanti.

2. Bahagikan perancangan mengikut tempoh

Sekiranya keikaku untuk setahun itu terlampau banyak ataupun buatkan anda rasa terbeban, anda boleh membahagikan keikaku itu mengikut tempoh. Contohnya buat keikaku yang terperinci  bagi san-ka-getsu-kan (tempoh 3 bulan)  atau yon-ka-getsu-kan (tempoh empat bulan) sahaja terlebih dahulu. Usai tempoh itu, sambung pula keikaku untuk tempoh baru pula sehingga habis 12 bulan. Kecilkan skala nya untuk input yang lebih banyak. Jika ada input yang perlu dibawa ke tempoh lain, terus letakkannya ke dalam tempoh lain supaya tidak keciciran.

3. Asingkan perancangan mengikut privasi

Dalam hidup kita, terutamanya bagi yang di alam pekerjaan, kita takkan terlepas daripada keikaku yang berkait dengan urusan di tempat kerja. Untuk itu, ada baiknya kalau kita asingkan keikaku mengikut privasi. Bahagikan antara keikaku kerja dan peribadi. Menggunakan jadual keikaku yang sama,  mungkin anda boleh bezakan antara urusan kerja dan peribadi melalui penggunaan font, penggunaan warna dan penggunaan stiker.

Melalui keikaku yang baik, ada beberapa merit yang boleh kita perolehi, seperti :

  1. Kita akan tahu apa kelemahan dalam diri kita melalui pengalaman di tahun sebelumnya. Kita boleh usahakan untuk memperbaikinya dalam tahun baru, terutamanya untuk urusan di tempat kerja yang biasanya akan berulang atau di bawa ke tahun baharu.
  2. Membolehkan kita berhati-hati untuk tidak mengulangi kesilapan atau perbuatan yang tidak elok di masa lalu. Mungkin pada tahun sebelum ini kita banyak menghabiskan wang dengan berbelanja secara online untuk benda-benda yang tidak perlu sehingga akhirnya menjadi pembaziran, maka tahun ini kita kurangkan lah berbelanja online. Sebaliknya, gunakanlah duit itu untuk bersedekah atau membantu mereka yang memerlukan.
  3. Apabila kita sedar akan kesilapan, kita tidak merasakan diri kita hebat. Dari sudut yang positif, ia boleh elakkan kita daripada menjadi seorang yang bongkak.
  4. Kita dapat memanfaatkan waktu dengan berhemah. Gunakan waktu yang terluang untuk berbuat perkara yang mendatangkan kebaikan pada diri sendiri dan juga orang lain.
sila klik di sini >>> www.azlansensei-e-learning.com/p/kelas-jepun-online

Bermulanya tahun baru, tahun yang lama menjadi cermin untuk refleksi diri. Adakah yang kita telah tinggalkan di tahun sebelumnya itu, mempunyai banyak nilai-nilai kebaikan atau sebaliknya? Jika banyak yang baik, keuntungan berada di pihak kita, dan boleh tambahkan lagi keuntungan itu di tahun baru. Jika sebaliknya, kerugian yang menempel. Maka buat lah keikaku yang membolehkan kita berubah untuk mendapat lebih banyak keuntungan.

Dalam meniti arus pemodenan ini, setiap tahun yang silih berganti akan memberi makna dalam kehidupan kita. Bertambahnya usia, berkurangnya hayat. Jadi, berbuat baiklah selagi kita mampu, agar kita menjadi orang-orang yang beruntung, yang tahu kemampuan diri, dan berbuat sesuatu mengikut kemampuan kita. Selagi diberikan kesempatan dan kesihatan hidup yang lebih panjang, gunakanlah anugerah itu dengan sebaiknya.    

Saya harap anda telah mendapat sedikit idea asas bagaimana untuk membuat keikaku yang dengan mudah dan memudahkan, disamping belajar beberapa perkataan dalam nihongo yang saya selitkan di dalam wacana ini.

Jika mahu belajar lagi dengan lebih mendalam dan bersistem, sila layari laman sesawang saya ini , okay! Yoroshiku onegai shimasu ~

Sekian sahaja topik santai kita untuk kali ini.   Genki de, mata ne~ (Ceria selalu, sehingga berjumpa lagi~ ).

About the author: AzlanSensei ™

Keadah pembelajaran bahasa Jepun yang dibuat khas untuk pelajar dewasa dengan menggunakan kaedah unik yang dinamakan sebagai ASSIIM (Azlan Sensei Special Indirect & Integrated Method)