5S dalam bahasa Jepun

Makna dan penggunaan 5S dalam bahasa Jepun

Nihonngo de 5S wa nan desu ka? (Apakah maksud 5S dalam bahasa Jepun?). Topik kita pada kali ini ialah tentang 5S (dalam pronunciation bahasa Jepun ianya dipanggi sebagai ‘GO ESU’), di mana ia adalah rentetan daripada topik Kaizen di dalam post saya yang sebelum ini.

Sepertimana Kaizen, saya turut percaya yang ramai di antara anda selalu mendengar perkataan 5S, kerana ia juga telah digunapakai secara meluas. Di dalam negara kita juga, kita boleh melihat amalan 5S diamalkan di dalam sektor kerajaan mahupun swasta . Tidak hairanlah jika istilah 5S ini telah diterjemah ke dalam ungkapan ‘S’ yang sesuai di dalam eigo (Bahasa Inggeris) dan mare-go (Bahasa Melayu).

5S ialah amalan yang pada asalnya di praktikkan di Nihon (Jepun), untuk mewujudkan persekitaran kerja yang bersih dan kemas. Lama-kelamaan, amalan 5S ini telah menjadi satu kanri houhou (kaedah pengurusan) yang akhirnya bukan sahaja menjadikan persekitaran kerja yang bersih dan kemas , malah membantu meningkatkan keselamatan, kuantiti dan seterusnya kualiti. 5S yang asal dalam nihongo (bahasa Jepun) ialah Seiri, Seiton, Seisou, Seiketsu dan Shitsuke.

Mengapa pula 5S ini adalah rentetan dan berkait dengan Kaizen? Ini adalah kerana, untuk melakukan Kaizen, teras yang perlu ada ialah amalan 5S. Baiklah, mari kita lihat dan fahamkan apa maksud 5S ini.

  • Seiri (整理) ,  jika dilihat pada karakter kanjinya , maksud seiri ialah ‘asing / atur’.  Untuk konsep Kaizen, ia memberi pengertian tentang pengasingan atau pengaturan sesuatu. Perkataan ‘S’ yang disesuaikan dengan Seiri ialah Sisih. Dalam ertikata lain, kita harus memilih barangan yang perlu sahaja ketika membuat kaizen. Yang tidak perlu, kita boleh lupuskan atau kitar semula mengikut keperluan di tempat lain.

>> Mono wo seiri shi, fuyou na mono wo sutemashou (Mari kita sisihkan barang-barang, dan buang barangan yang tidak perlu).

  • Seiton (整頓) , jika dilihat pada karakter kanjinya, memberi maksud ‘susun mengikut aturan’. Dalam konsep Kaizen, ia adalah penyususan sesuatu mengikut aturan yang sepatutnya. Perkataan ‘S’ yang digunakan untuk Seiton ialah Susun. Bermakna, sesuatu itu harus disusun mengikut aturan  dan seterusnya memudahkan akses untuk melihat mahupun mengambil item tersebut. Dari sinilah wujudnya sub-amalan seperti pelabelan (labelling), kod warna, kod nombor dan seumpamanya.

>> Mono wo seiton shi, sugu toridaseru you ni shimasou (Mari kita susun barang-barang, supaya ia dapat dicapai/diambil dengan segera).

  • Seisou (清掃) . Maksud sebenar bagi Seiso ialah membersihkan. Di dalam Kaizen, kebersihan sangat  diutamakan .Di sini, perkataan ‘S’ yang disesuaikan dengan Seisou ialah Sapu. Ianya  bukan sahaja setakat membersihkan daripada kotoran atau habuk, tetapi memastikan kebersihan sentiasa terjaga. Dalam konteks seisou ini, media bantuan seperti jadual pembersihan dan alatan yang sesuai untuk proses pembersihan harus diambil kira.

>> Mono wo seisou shi, tsune ni kirei ni shimashou (Mari kita bersihkan barang-barang, dan sentiasa kelihatan bersih).

  • Seiketsu (清潔), bermaksud bersih, dan juga persekitaran yang bersih. Di dalam Kaizen, untuk mendapatkan kebersihan dan persekitaran yang bersih, kita harus melaksanakan terlebih dahulu Seiri , Seiton dan Seisou.  Perkataan ‘S’ yang digunakan untuk Seiketsu ialah Seragam. Untuk memastikan keseragaman, pematuhan kepada panduan garis kerja seperti Work Chart, Working Instruction dan SOP (Standard Operation Procedure) adalah perlu.

>> Seiri, Seiton to Seisou wo iji-shimashou (Kekalkan dan perbaiki Sisih, Susun dan Sapu).

  • Shitsuke (躾), maksud sebenarnya adalah disiplin / latihan / pengajaran. Dalam konsep Kaizen, Shitsuke adalah perlu untuk mengekalkan kelancaran aktiviti.  Perkataan ‘S’ yang disesuaikan untuk Shitsuke adalah ‘Sentiasa Amal’. Para pekerja dan majikan seharusnya saling melibatkan diri dan berdisiplin dalam melaksanakan setiap perancangan untuk mendapat hasil aktiviti yang baik dan memuaskan.

>> Kimerareta koto wo kichinto mamorimashou (Marilah kita mematuhi dengan baik apa yang telah ditetapkan).

Doushite 5S ga daiji desu ka ? (Mengapakah 5S penting?).

Jika kita lihat dari sudut organisasi, sudah semestinya yang paling penting di dalam sesuatu organisasi adalah keuntungan(profit) mahupun ganjaran yang berbaloi (bagi organisasi yang tidak berasaskan keuntungan). Dalam usaha mencapai sasaran yang memuaskan dan berjaya, sewajarnya aktiviti yang dijalankan dalam sesuatu organisasi itu perlu mengikut aliran (trending) dan penambahbaikan (Kaizen) sentiasa dilakukan. Untuk melaksanakan Kaizen, kita perlu ada terasnya, iaitu 5S.  

5S no meritto wa nan desuka? (Apakah merit bagi 5S?).

Selain daripada berada dalam persekitaran kerja yang bersih dan kemas, persekitaran yang selamat, serta peningkatan dalam kuantiti dan kualiti, ada beberapa lagi merit dalam amalan 5S yang tidak dapat dipandang secara lewa, seperti :

  1. Pengurangan dalam kos (dapat mengenalpasti pembaziran)
  2. Penglibatan pekerja dalam menyumbangkan idea (menjurus kepada pembangunan sumber manusia)
  3. Mewujudkan semangat kerja berpasukan
  4. Pembentukan disiplin dalam diri
  5. Mengurangkan tekanan dalam bekerja (kerja menjadi lebih mudah, kurang keliru)
  6. Membantu dalam urusan audit melalui piawaian kerja yang teratur, data yang mudah di akses, penyelenggaraan yang baik dan seumpamanya.
  7. Mendapat kepercayaan pelanggan melalui imej yang baik seperti tempat kerja yang bersih dan sistematik, pengiktirafan dalam audit, serta  kecekapan pengurusan.
  8. Peningkatan imej organisasi , seterusnya menambahkan peluang perniagaan / ganjaran.
sila klik di sini >>> www.azlansensei-e-learning.com/p/kelas-jepun-online

Kesimpulan daripada pemahaman terhadap makna 5S dalam bahasa Jepun

Amalan 5S ini sebenarnya adalah satu konsep yang mudah tetapi mampu memberikan impak yang hebat sekiranya ia dilaksanakan dengan baik dan tidak berlebih-lebihan. Kadang-kadang, benda yang mudah jadi sukar apabila berlebih-lebihan dan ia juga mungkin mengundang kepada pembaziran. Buatlah yang terbaik mengikut kemampuan, agar tidak membebankan.

Jadi, terapkanlah amalan 5S ini sebagai budaya kerja kita. Setiap amalan yang baik, walaupun sedikit, jika dilakukan secara berterusan, ia akan menjadi kebiasaan. Dari kebiasaan, ia mungkin akan menjadi contoh kepada mereka yang lain, dan tak mustahil ianya boleh diwarisi ke generasi akan datang mengikut kesesuaian pada aliran zaman itu.

Saya harap anda telah memahami sedikit sebanyak tentang makna 5S dalam bahasa Jepun secara lebih mendalam. Seperti Kaizen, cara hidup seharian kita juga seharusnya ada 5S. Mungkin kita boleh tambah lagi satu ‘S’ dalam hidup seharian kita, iaitu Syukur 🙂 kerana apabila kita syukur sambil menghargai apa yang kita ada dan  memperbaiki diri, kita akan beroleh ketenangan dan kebahagiaan.

Sekian sahaja topik santai kita untuk kali ini. Itsumo kaizen shimashou ! (Mari kita sentiasa buat 5S dan Kaizen! ) .  Genki de, mata ne~ (Ceria selalu, sehingga berjumpa lagi~ ).

Jika anda mahu belajar bahasa Jepun dengan lebih mendalam dan bersistem lagi, sila layari laman sesawang saya ini , okay! Yoroshiku onegai shimasu ~

www.azlansensei.com

About the author: AzlanSensei ™

Keadah pembelajaran bahasa Jepun yang dibuat khas untuk pelajar dewasa dengan menggunakan kaedah unik yang dinamakan sebagai ASSIIM (Azlan Sensei Special Indirect & Integrated Method)