perkataan bahasa Jepun kaizen

Perkataan Bahasa Jepun KAIZEN : Jom buat penambahbaikan !

Topik kita pada kali ini adalah berkenaan dengan perkataan bahasa Jepun Kaizen. Saya percaya ramai di antara anda selalu mendengar perkataan Kaizen ini, kerana ia juga telah digunapakai secara global. Apatah lagi buat mereka yang bekerja di nihon-gaisha (syarikat Jepun), Kaizen sangat diutamakan, dan kebanyakan kaisha (syarikat) ada menyentuh tentang Kaizen di dalam core value mereka.

Berdasarkan karakter perkataan bahasa Jepun Kaizen itu sendiri, jika diterjemahkan kanji nya satu persatu, ‘Kai’ membawa maksud perubahan / change, dan ‘Zen’ membawa maksud bagus / good. Change good? Ya, berubah itu bagus, berubah lah menjadi lebih bagus, dan sangat bagus untuk kita berubah. Macam-macam kita boleh definisikan melalui terjemahan karekter kanji  Kaizen ini. Apa sekalipun, untuk menjadi lebih bagus, perubahan itu perlu dan seharusnya sentiasa berterusan untuk mengekalkannya. Sebab itulah maksud sebenar Kaizen ialah perubahan yang berterusan / Continuous Improvement.

Jika anda ada mengikuti kursus tentang Kaizen ini, berkemungkinan konsultan akan tanya soalan “cuba anda semua teka, dalam banyak-banyak bilik, bilik apakah yang paling besar?”. Jawapan bagi soalan ini adalah “bilik untuk perubahan /room for improvement adalah yang paling besar. There is always rooms for improvement. Jadi, isikanlah dan lakukanlah apa sahaja Kaizen di dalam bilik yang besar itu”.

Antara perkara asas yang perlu dalam Kaizen ialah kangae-kata (cara berfikir). Jika kita selalu merasakan yang sesuatu itu semuanya sudah okey ataupun begitulah keadaan sesuatu itu seharusnya berlaku, maka kita takkan dapat melaksanakan Kaizen. Kangae-kata yang sebegini adalah umpama tembok besar dalam pemikiran kita yang menghalang perubahan daripada dilakukan. Kita harus melepasi tembok ini sekiranya kita ingin membuat Kaizen.

Doushite Kaizen ga daiji desu ka ? (Mengapakah Kaizen penting?).

Mari kita perhatikan kepentingan perkataan bahasa Jepun Kaizen ini dari sudut organisasi. Di dalam sesuatu organisasi, sudah tentulah ianya berpaksi kepada sesuatu sistem dan yang menggerakkan sistem tersebut adalah nin-gen (manusia). Jika ada penggunaan robot sekalipun, tetap juga memerlukan bantuan manusia untuk robot itu beroperasi.

Lumrah manusia, tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Jadi, Kaizen amat perlu dalam situasi seperti membetulkan perkara yang kurang betul, mengelakkan kecuaian, mempertingkatkan keselamatan, menaikkan tahap kualiti, memperbanyakkan produktiviti dan kuantiti dalam operasi serta menambahbaik sistem yang sedia ada dalam pengurusan.

Apabila semuanya dalam keadaan yang baik, pengurusan syarikat juga akan berada dalam keadaan baik atau mungkin juga menjadi lebih lancar dan akhirnya membuahkan hasil seperti yang dimahukan. Sebagai pekerja, kita juga akan mendapat faedah mahupun kepuasan secara tak langsung, bukan?

Bagaimana pula kalau kita lihat dari sudut keluarga dan masyarakat? Sudah tentu juga dengan adanya kaizen dalam keluarga  dan masyarakat, ia akan merapatkan lagi ukhwah kita sesama manusia, dan kehidupan seharian akan sentiasa dalam keadaan yang baik. Siapa tak mahu begini, kan?

Kaizen wa dou yatte jisshi-shimasuka? (Bagaimana Kaizen dilaksanakan?).

Kaizen boleh sahaja dilaksanakan secara chi-mu (berkumpulan) ataupun kojin (individu). Jika di dalam sesuatu organisasi, biasanya akan ada satu pasukan yang telah diarahkan oleh pihak atasan untuk mengelolakan dan  memantau aktiviti Kaizen ini.

Untuk memastikan sesuatu Kaizen itu berjaya dilaksanakan, perlu ada perancangan yang teliti dan baik, try and error stage, pemastian selepas perlaksanaan dan langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku permasalahan selepas Kaizen dilakukan. Harus diingatkan, Kaizen adalah aktiviti dan komunikasi dua hala, bukannya top to down. Setiap pihak perlu melibatkan diri untuk memastikan ianya berjaya.

Walaubagaimanapun, ada juga yang tidak berani untuk melakukan Kaizen kerana kadangkala modal yang besar terpaksa dikeluarkan untuk merealisasikan perencanaan, dan menganggap ianya akan membawa kerugian. Hal sebegini sebenarnya akan berbalik semula kepada persoalan tembok di dalam pemikiran tadi. Sedar tak sedar, ketika asyik memikirkan tentang pusingan modal atau kerugian, kita telah ditinggalkan oleh pesaing-pesaing yang berjaya kerana Kaizen yang mereka telah lakukan.

Akhirnya, mahu atau tidak, hendak seribu daya, memang Kaizen perlu dilaksanakan. Di dalam situasi sebegini, kita kena ingat bahawa Kaizen tidak semestinya dilakukan sekaligus dalam skala yang besar. Sukoshi zutsu yatte mo yoi desu (bagus juga lakukannya sedikit demi sedikit), asalkan berterusan. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Jadilah bukit yang subur menghijau, yang memberi manfaat kepada persekitaran.

Kaizen dari segi individu dan personal

Bagaimana pula dengan kaizen secara kojin (individu), atau lebih tepat lagi kaizen diri kita sendiri? Selama kita hidup, takkan kita tak buat Kaizen untuk diri sendiri, kan? Takkan kita tak mahu berubah untuk menjadi lebih baik? Sebenarnya banyak Kaizen yang kita boleh buat untuk diri kita. Contohnya :

  1. Jikan wo mamori-masu (menepati masa)
  2. Yakusoku wo mamori-masu (menepati janji)
  3. Chikoku wo shi-masen (tidak kelambatan)
  4. Ii koto dake hanashi-masu (bercakap hanya perkara yang baik)
  5. Yokei na koto wo kangae-masen (tidak memikirkan hal yang tidak perlu)
  6. Tanin wo sonkei-shimasu (menghormati orang lain)
  7. Ibari-masen (tidak bercakap besar)
  8. Seijitsu (Ikhlas)
  9. Itsumo mae-muki (sentiasa positif)

Ini semua mungkin kelihatan kecil di mata , perasaan dan hati kita, tetapi impaknya besar apabila kita sentiasa melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Ingat ya, Kaizen tak mengajar untuk kita merasakan yang diri sendiri hebat, tapi sentiasa memberitahu kita bahawa kita ini sentiasa ada kesilapan dan perlu membetulkan kesilapan itu. Mudah kan? Tepuk dada, tanya hati, di mana mahu perbaiki. Tidak perlu sempurna untuk melakukan perubahan diri, tetapi mengecapi perubahan diri yang positif sudah cukup untuk memberikan rasa sempurna dalam hidup.

Saya harap anda telah mendapat sedikit sebanyak input tentang perkataan bahasa Jepun Kaizen ini. Jika kita amati, cara hidup seharian kita juga seharusnya bersandarkan kepada prinsip Kaizen kerana Kaizen memerlukan pengorbanan, komitmen dan juga harapan untuk berjaya.  Amalkan dan terapkanlah Kaizen dalam diri dan kehidupan seharian kita. Jika kita sendiri tidak mengubah dan berubah kepada sesuatu yang lebih bagus, maka nasib hidup kiita pun tidak akan berubah. Tuhan pun tidak akan mengubah nasib kita kecuali kita sendiri yang mengubahnya.

Jika anda mahu belajar lagi bahasa Jepun dengan lebih mendalam dan bersistem, sila layari laman sesawang saya ini , okay! Yoroshiku onegai shimasu ~

Sekian sahaja topik santai kita untuk kali ini. Itsumo kaizen shimashou ! (Mari kita sentiasa buat Kaizen! ) .  

Genki de, mata ne~ (Ceria selalu, sehingga berjumpa lagi~ ).

www.azlansensei.com

About the author: AzlanSensei ™

Keadah pembelajaran bahasa Jepun yang dibuat khas untuk pelajar dewasa dengan menggunakan kaedah unik yang dinamakan sebagai ASSIIM (Azlan Sensei Special Indirect & Integrated Method)