Tolong ya… Terima kasih ya…

Ogenki desuka (apa khabar)? Dalam entri yang sebelum ini, saya utarakan tentang frasa maaf. Kali ini, saya ingin pula ceritakan tentang satu lagi frasa yang setiap hari kita boleh dengar orang Jepun menuturkannya, iaitu ‘yoroshiku onegai-shimasu’.

Frasa bahasa Jepun ini boleh dikatakan unik kerana ia tidak mempunyai makna yang spesifik. Secara umumnya, ia memberi pengertian sebagai ‘tolong dan terima kasih’ secara serentak. Dan sudah semestinya maksudnya akan bergantung kepada situasi ketika itu.

Ketika saya mula-mula belajar nihongo (bahasa jepun) dahulu, saya hairan juga kenapa sensei-tachi (para guru) saya asyik menyebut ‘yoroshiku onegai-shimasu’ sana sini, tak kira sesama sensei atau sesama anak murid. Lama kelamaan, baru lah saya mengerti betapa indah dan uniknya penggunaan frasa ini dalam nihongo. Bila berada di negara Jepun, bukan sahaja frasa ini senantiasa diungkap, kita juga boleh melihat penggunaannya secara meluas di media-media yang ada.

Jom kita lihat penggunaan frasa bahasa Jepun ini berdasarkan situasi-situasi yang berlaku seharian, dan makna yang diberikan/apa yang kita boleh faham dari nya :

Yoroshiku’ ketika memperkenalkan diri

Watashi wa Hassan desu. Yoroshiku onegai shimasu.

(Saya Hassan. Sila beri tunjuk ajar)

Di sini, sila beri tunjuk ajar  juga boleh membawa erti “I’m glad to meet you” secara serentak.

Ketika menyampaikan greeting kepada orang lain

Aminah-san, kaisha no Osaka no koujou ni ittara, Yamada-san ni yoroshiku ne.

(Aminah, jika ke kilang syarikat kita di Osaka, sampaikan salam saya pada Yamada-san ya)

“…~san ni yoroshiku ne”, selalu digunakan jika kita ingin sampaikan ucapan kita melalui orang lain.  Biasanya digunakan sesama rakan rapat/rakan sekerja/keluarga.

Di rumah (Ibu berkata kepada anaknya)

Erika, roku ji ni nattara, hana ni mizu wo agete kudasai. Yoroshiku ne.

(Erika, jika sudah jam enam nanti,  siramkan bunga. Tolong ya)

Ibu minta tolong anaknya supaya menyiram bunga. Yoroshiku di sini boleh membawa beberapa maksud dalam satu, seperti  “tolong ya, terima kasih ya, jangan lupa ya”.

Di tempat kerja (apabila orang atasan memberi arahan)

Geppou no teishutsu no shimekiri wa sorosoro ni narimasu. Yoroshiku onegai shimasu ne, mina-san.

(Tidak lama lagi ialah tarikh akhir untuk menghantar laporan bulanan. Tolong ya, anda semua)

Dalam konteks ini, yoroshiku bermaksud orang atasan minta kita bersedia apa yang patut untuk proses membuat dan menghantar laporan bulanan, sebelum tarikh akhir.

Di sekolah (cikgu memberi arahan kepada anak murid)

Mina-san, kyou no shukudai wa ni-juu-san peeji kara san-juu peeji made. Yoroshiku.

(Murid-murid  semua, kerja rumah untuk hari ini ialah dari mukasurat 23 sehingga mukasurat 30. Tolong buat)

Apabila cikgu memberi arahan kerja rumah, yoroshiku boleh membawa maksud “tolong buat, jangan lupa buat, tak siap kerja rumah nanti cikgu akan denda ”

Di sekolah (hari ibubapa dan guru)

Sensei , iro-iro musume ni adobaisu wo agete, arigatou gozaimasu. Kore kara mo yoroshiku onegai shimasu.

(Cikgu, terima kasih sebab memberi banyak nasihat untuk anak perempuan saya. Minta jasa baik cikgu juga selepas ini)

Yoroshiku dari ibu bapa kepada cikgu. Di sini, boleh membawa maksud “terima kasih banyak cikgu, tolong bimbing anak saya, tolong jaga anak saya, tegur lah anak saya kalau dia buat salah”

Ketika gotong-royong

Kirei ni katatduke-mashou. Yoroshiku onegai shimasu.

(Jom kita kemas cantik-cantik. Tolong ya)

Yoroshiku dalam situasi ini boleh membawa maksud seperti “sapu bersih-bersih ya, susun elok-elok ya, sampah dibuang dengan betul ya, jangan malas-malas ya”

Di hospital

Sensei, chichi no inochi wo tasukete kudasai. Yoroshiku onegai shimasu!!.

(Doktor, tolong selamatkan nyawa ayah saya. Tolong lah!!)

Yoroshiku yang penuh pengharapan. Ini contoh untuk situasi merayu.

Di syarikat penghantaran kurier

Sumimasen, kono nimotsu wo Marakka made okuritai desu. Yoroshiku onegai shimasu.

(Maaf ya, saya nak hantar barang ini ke Melaka. Tolong ya)

Membawa maksud “tolong saya aturkan urusan pengiriman barang ini”.

Di kedai kasut

Kono kutsu, 25cm no saizu ga hoshii desu. Yoroshiku onegai shimasu.

(Kasut ini, saya mahu saiz 25cm. Tolong ya)

Maksudnya, kita minta pekerja di kedai kasut carikan saiz kasut yang kita mahu.

Ketika mesyuarat bersama kontraktor

Kisha no mentenansu sutaffu wa anzen wo mamoranai koto wo hakken shimashita. Kichinto mamoru you ni toreeningu wo shite kudasai. Yoroshiku onegai shimasu!

(Kami dapati staf penyelenggaraan dari syarikat awak tidak mematuhi keselamatan. Tolong beri dia latihan supaya dia mematuhi keselamatan dengan betul. Tolong ya!

Isu keselamatan adalah penting dalam kerja-kerja penyelenggaraan. Di sini, ‘yoroshiku’ boleh memberi maksud seperti “tolong lah ada rasa bertanggungjawab tentang isu keselamatan” , “berilah latihan keselamatan dengan betul” , “awasi lah staf anda ketika mereka buat kerja”. “jangan ada staf yang cedera ketika bekerja”.

Ketika memohon cuti daripada orang atasan

Kachou, watashino okaasan ga nyuuin shimashita. Okaasan no mendou wo miru tame, mikkakan no kyuuka wo toritai desu. Yoroshiku onegai itashimasu.

(Tuan pengurus, ibu saya telah dimasukkan ke hospital. Saya mahu minta cuti 3 hari untuk menjaga ibu saya. Minta tolong ya)

Dalam situasi begini, ‘yoroshiku’ membawa maksud seperti “tolonglah luluskan cuti saya”, “kasihanilah saya”, “terima kasih kerana pertimbangkan permohonan cuti saya ini”.

Okay, boleh faham tak tentang penggunaan frasa yoroshiku ini? Ada banyak lagi contoh-contoh penggunaan frasa ‘yoroshiku’ ini.  Seperti yang telah saya katakan di awal-awal tadi, maksud frasa ‘yoroshiku’ ini akan bergantung kepada situasi, dan boleh memberi perlbagai maksud dalam suatu masa, baik kepada yang menuturkan nya mahupun kepada orang yang dituturkan.  Ia juga punyai hirarki nya yang tersendiri, daripada yang santai/kurang formal (yoroshiku ne) dan formal (yoroshiku onegai shimasu, yoroshiku onegai itashimasu).  Jom kita praktikkan penggunaan frasa ini sepanjang masa.

Jika mahu belajar lagi dengan lebih mendalam dan bersistem, sila layari laman sesawang saya ini ataupun klik link di bawah gambar ini, okay! Yoroshiku onegai shimasu ~

sila klik di sini >>> www.azlansensei-e-learning.com/p/kelas-jepun-online

Sekian sahaja topik kita untuk kali ini. Diharapkan anda telah belajar sesuatu yang baru.

Genki de, mata ne~ (Ceria selalu, sehingga berjumpa lagi~ )

www.azlansensei.com

About the author: AzlanSensei ™

Keadah pembelajaran bahasa Jepun yang dibuat khas untuk pelajar dewasa dengan menggunakan kaedah unik yang dinamakan sebagai ASSIIM (Azlan Sensei Special Indirect & Integrated Method)