Tulisan Kanji untuk ‘besar’

Kali ini saya mahu menulis tentang ‘Oo~’.  Oo tte nan desu ka?( Apa kah ‘Oo~’ ini?). Sepertimana yang tertera di dalam gambar di atas, ‘Oo’ adalah salah satu bacaan kunyomi untuk karakter kanji ‘ 大 ‘, yang membawa maksud ‘besar’ (large / big).  Kita dapat lihat bahawa Onyomi  (bacaan On) bagi kanji ‘ 大 ‘ adalah Dai dan Tai, manakala kunyomi (bacaan Kun) bagi kanji ‘ 大 ‘  adalah Oo, Ookii dan Ooini. Di sini, Ookii merupakan satu adjektif, manakala Ooini pula iaitu satu adverb (kata keterangan).

Untuk pengetahuan anda, bagi setiap karakter kanji nihongo, terdapat dua bacaan, samada onyomi atau kunyomi.  Onyomi adalah bacaan kanji yang diambil dari sebutan bahasa Cina, manakala kunyomi pula ialah bacaan kanji dalam sebutan nihongo. Maksudnya di sini, untuk setiap karakter kanji yang ada dalam senarai kanji yang digunakan di nihon(Jepun),  nihonjin (orang Jepun) telah mencipta sebutan sendiri untuk karakter tersebut dalam nihongo, dan menamakannya sebagai kunyomi.  

Bergantung kepada perkataan yang menggunakan kanji ini, bacaan/sebutannya akan menggunakan samada onyomi atau kunyomi.  Contoh perkataan untuk kanji ‘ 大 ‘ yang menggunakan onyomi ialah daigaku (universiti) dan taikoku (negara besar). Untuk kunyomi pula, contoh perkataan adalah seperti Oogoe (suara besar/kuat) dan oobune (kapal besar).

Berbalik kepada ‘Oo~’, saya ingin berkongsi dengan anda tentang penggunaan perkataan yang bermula dengan ‘Oo~’ di dalam nihongo, di mana penggunaannya agak meluas. Oleh kerana ‘Oo’ ini membawa maksud ‘besar’, secara lojiknya perkataan yang terhasil/bergabung dengan ‘Oo’ ini turut membawa maksud sesuatu yang ‘besar’. Cuma, bagi sesetengah perkataan, maksud ‘besar’ itu akan menjadi satu maksud yang lain tetapi masih mengekalkan pengertian ‘besar’ secara tersurat. Untuk itu, mari kita lihat senarai perkataan yang menggunakan sebutan ‘Oo’ ini.

Oo (besar)-ame (hujan). Secara amnya, maksudnya adalah ‘hujan besar’ . Akan tetapi, maksud sebenar gabungan kedua perkataan ini ialah ‘hujan lebat’.

  • Kesa, ooame deshita. (Pagi tadi, hujan lebat).
  • Oo-ame no tame ni, fuku ga nuremashita (Disebabkan hujan lebat, baju saya basah).

Oo(besar)-ase (peluh). Harfiahnya adalah peluh besar tetapi  maksud sebenarnya adalah ‘berpeluh dengan banyak’.

  • Sauna wo deta ato, ooase desu ne. (Selepas keluar dari sauna, banyak peluh, kan.)

Oo(besar)-ana (lubang). Perkataan ini membawa maksud langsung ‘lubang yang besar’.

  • Michi no hyoumen ni ooana ga arimasu node, unten ni ki wo tsukte kudasai . (Di permukaan jalan, ada lubang yang besar. Sila berhati-hati ketika memandu)

Oo(besar)-arashi (ribut). Perkataan ini juga membawa maksud langsung ‘ribut besar/kuat’.

  • Ashita no yuugata ni, ooarashi  ga hassei suru kanousei ga arimasu. (Pada waktu senja esok, ada kemungkinan ribut besar akan berlaku).

Oo(besar)-isogi (cepat). Secara harfiah, maksudnya ‘cepat besar’ tetapi maksud sebenarnya adalah ‘penting, segera, sangat perlu / urgent’.

  • Kono repooto wa oo-isogi desu. Hayaku teishutsu shite kudasai. (Laporan ini penting. Sila hantar dengan cepat)
  • Kesa, nebou shite shimai-mashita. Oo-isogi de shokuba ni ikimashita. (Pagi tadi, saya tertidur lebih masa. Dengan segera saya pergi ke tempat kerja).

Oo(besar)-isogashii(sibuk). Secara direct, maksudnya ‘sibuk besar’ tetapi maksud sebenarnya adalah ‘sangat sibuk’.

  • Sorosoro getsu matsu desu. Repooto wo takusan teishutsu-shinai-to-ikemasen. Konshuu , mainichi oo-isogashii desu! (Tak lama lagi penghujung bulan. Ada banyak laporan yang perlu saya hantar. Minggu ini, setiap hari saya sangat sibuk!)

Oo(besar)-uridashi (jualan). Membawa maksud jualan besar-besaran / big sale.  Kita boleh melihat perkataan oo-uridashi ini di pusat membeli belah sewaktu musim jualan murah.

  • Nenmatsu ni oo-uridashi ga takusan arimasu ne. (Pada hujung tahun, banyak jualan besar-besaran, kan.)

Oo(besar)-gata (bentuk/saiz). Perkataan ini  bermaksud bentuk/saiz yang besar.  Ada banyak perkataan yang menggunakan ‘oogata’ ini, seperti  oogata terebi (televisyen bersaiz besar), oogata doubutsu (binatang bersaiz besar), oogata kuruma (kereta bersaiz besar), oogata torakku (trak bersaiz besar), dan oogata biru (bangunan bersaiz besar).

  • Oogata terebi kaitai desu (saya mahu membeli televisyen bersaiz besar)
  • Zou wa oogata doubutsu desu (gajah ialah binatang bersaiz besar)
  • Kazoku membaa ga fuemashita. Oogata kuruma ga areba, raku desu ne. (Ahli keluarga saya telah bertambah. Jika ada kereta bersaiz besar, selesa kan!)

Oo(besar)-gara (corak/pattern), bermaksud corak yang besar.

  • Erika-san wa oogara no hana no sukaato wo haite-imasu (Erika-san memakai skirt bercorak bunga yang besar)
  • Heya no naka no kaaten no patan wa oogara no mizutama desu. (Corak langsir di dalam bilik ialah corak titisan air yang besar).

Oo(besar)-warai(ketawa), membawa maksud ketawa besar/ketawa disebabkan sesuatu yang melucukan.

  •  Shinchan anime wo miru to, itsumo oowarai ni narimasu (Jika menonto animasi shinchan, saya selalu ketawa besar)
  • Nihon ni wa oowarai bangumi ga takusan arimasu (Di Jepun, ada banyak rancangan lawak). Di sini, oowarai bangumi membawa maksud rancangan lawak.

Oo-doori (jalan), bermaksud jalan besar atau jalan utama.

  • Kono basu wa eki mae no oodoori made ikimasu (bas ini akan pergi sehingga ke jalan besar di depan stesen).
  • Chuushajou wa oodoori no ushiro ni arimasu (parkir berada di belakang jalan utama).

“Oo..ini ke maksudnya. Baru saya faham”. Saya harap anda telah mendapat pemahaman yang begini, tidak kira sedikit atau banyak, tentang perkataan nihongo yang bermula dengan ‘Oo’ melalui perkongsian  saya pada kali ini. Jika kita lihat secara mendalam, walaupun maksud sebenar karakter kanji ‘ 大 ‘ ialah ‘besar’, tetapi apabila ia bergabung dengan perkataan atau karakter kanji yang lain, maksudnya boleh membawa maksud yang lebih besar dan mungkin agak berlainan daripada apa yang kita lihat.

Jika anda minat dan mahu belajar nihongo dengan lebih mendalam dan bersistem, hazukashiku-naranai-de (jangan malu/jangan segan), layarilah laman sesawang saya ataupun klik di link bawah gambar ni, dan ikutilah pembelajaran bersama-sama saya, okay! Yoroshiku onegai shimasu ~

sila klik di sini >>> www.azlansensei-e-learning.com/p/kelas-jepun-online

Sekian sahaja topik santai kita untuk kali ini.  Genki de, mata ne~ (Ceria selalu, sehingga berjumpa lagi~ ).

www.azlansensei.com

About the author: AzlanSensei ™

Keadah pembelajaran bahasa Jepun yang dibuat khas untuk pelajar dewasa dengan menggunakan kaedah unik yang dinamakan sebagai ASSIIM (Azlan Sensei Special Indirect & Integrated Method)