Ucapan awal tahun dalam bahasa Jepun

Ucapan awal tahun dalam bahasa Jepun

Ogenki desuka (apa khabar)? Ki-dzukanai uchi ni, soro soro nenmatsu ni mukaimasu ne (Tanpa disedari, tak lama lagi kita akan menuju ke penghujung tahun, kan).  Apakah anda tahu ucapan awal tahun dalam bahasa Jepun? Adakah houfu (azam) tahun 2019 anda telah terlaksana? Atau anda telah ada houfu untuk tahun 2020? Keikaku (perancangan) yang baik adalah penting dalam menjayakan sesuatu houfu.

Menghampiri nenmatsu( penghujung tahun), pastinya urusan di tempat kerja sangat isogashii (sibuk) dengan pelbagai perkara untuk diselesaikan sebelum tahun baru menjelma. Tambahan pula dengan ‘gakkou no yasumi’ (cuti sekolah), pasti juga ramai yang bercuti untuk meluangkan masa bersama keluarga. Begitulah biasanya situasi ketika nenmatsu, kan.  Apa sekalipun, saya harap urusan anda akan berjalan dengan baik.

Di Nihon (Jepun), nenmatsu  merupakan satu tempoh masa yang menarik, kerana di samping tempohnya adalah ketika fuyu (musim sejuk), ia turut melibatkan persediaan untuk menyambut Oshougatsu (tahun baru) . Sambutan Oshougatsu di Nihon merupakan satu perayaan tahunan yang disambut mengikut kebiasaan sejak lama dahulu.

Nihonjin (orang Jepun) akan meraikannya bersama ibu bapa mahupun keluarga terdekat. Ketika ini ramai penghijrah di kota akan pulang ke kampung masing-masing untuk berkumpul bersama keluarga.  Secara tidak langsung, situasi ini akan mewujudkan satu keadaan yang ‘sibuk’, di mana banyak aktiviti turut berlaku ketika ini, terutamanya bermula dari pertengahan juu-ni-gatsu (bulan Disember).

Apakah yang dikatakan menarik dan menjadikan ‘sibuk’ ketika nenmatsu di Nihon? Baiklah, antara aktiviti yang menjadikan ia menarik dan meyumbang kepada ‘kesibukan’ itu adalah seperti :

  1. Nenmatsu seerusu (Jualan Penghujung Tahun / Year End Sales)

Nenmatsu ni wa (di penghujung tahun), pusat membeli belah akan sibuk dengan jualan akhir tahun. Yang menariknya, ada jualan yang dikenali sebagai ‘fukubukuro’. Maksud ‘fukubukuro’ secara terjemahan terus ialah ‘bungkusan beruntung’. Tetapi dalam konsep jualan ini, ia dikenali sebagai  ‘pakej misteri’, di mana di dalam pakej ini (biasanya dalam bungkusan atau beg yang tertutup) mengandungi barangan ‘misteri’ yang kita hanya tahu apabila kita membeli dan membukanya.

Ia juga misteri kerana nilai barangan di dalamnya biasanya lebih tinggi daripada harga yang kita bayar. Pembeli akan rasa teruja untuk melihat ‘keberuntungan’ mereka walaupun mungkin ada yang  agak kecewa kerana mereka tidak meminati atau telah memiliki barangan tersebut. Keterujaan dan misteri itu lah yang menggamit pelanggan untuk membeli ‘fukubukuro’. Bernasib baik atau tidak, itu adalah rezeki masing-masing.

2. Membeli bahan-bahan masakan

Oleh kerana Oshougatsu merupakan perayaan tahunan, kaum ibu terutamanya akan membuat persediaan dengan membeli bahan-bahan yang khas/istimewa untuk memasak hidangan istimewa di pagi tahun baru. Hidangan istimewa ini dikenali sebagai ‘Osechi Ryouri’. Jika di dalam masyarakat kita, ianya akan kelihatan seperti makan istimewa untuk sambutan perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Untuk menghasilkan hidangan istimewa ini, bahan-bahan yang terbaik (mengikut kemampuan keluarga) dan terpilih akan digunakan. Di pasar-pasar dan pasaraya, banyak penjualan dan promosi bahan mentah diadakan untuk menarik pelanggan.

3. Nen-gajou (Kad Ucapan Tahun Baru)

Sempena Oshougatsu, nihonjin akan menghantar nen-gajou (kad ucapan tahun baru ; seperti poskad / tidak bersampul) kepada saudara mara dan sahabat handai mereka. Mungkin ada sahabat handai yang telah lama tidak berhubung, utus sahaja nen-gajou kepada mereka. Tujuan nen-gajou ini adalah untuk memberitahu tentang perkhabaran diri yang terkini, juga ucapan terima kasih dan penghargaan buat sesiapa yang telah membantu mereka pada tahun sebelumnya.

Biasanya nen-gajou ini boleh dibeli di hon-ya (kedai buku) dan yuubinkyoku (pejabat pos). Untuk kelihatan lebih menarik dan sofistkated, ada juga yang menempah nen-gajou secara khas mengikut citarasa dan rekaan masing-masing.

Bagi syarikat pula, nen-gajou akan dihantar kepada pelanggan-pelanggan yang berurusan dengan mereka sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas kepercayaan yang pelanggan mereka berikan dalam membantu perniagaan mereka.

Apa yang unik tentang nen-gajou ini ialah, pihak pengurusan yuubinkyoku akan memastikan ianya sampai di tangan penerima pada pagi 1 Januari. Ketika ini juga situasi di yuubinkyoku sangat sibuk, hingga memerlukan tenaga pekerja separuh masa untuk membantu pengurusan nen-gajou. Bagi memastikan nen-gajou sampai kepada penerima pada pagi 1 Januari, penghantar haruslah mengeposnya sepanjang tempoh yang ditetapkan oleh yuubinkyoku.

Dan jika penerima mahu membalas nen-gajou, mereka hendaklah menghantar balasan secepat yang mungkin, supaya ia sampai kembali ke tangan yang berkenaan dalam tempoh seminggu pertama di tahun baru (mungkin juga ada penghantar yang tercicir senarai penerima, mereka juga harus menghantar nen-gajou secepat mungkin!).

Di sini kita dapat melihat walaupun telah maju dan berada di era digital, menghantar nen-gajou secara tradisi masih menjadi pilihan popular di Nihon kerana secara ironinya memegang nen-gajou yang sebenar di tangan sendiri menimbulkan perasaan kekitaan yang kuat.

Apakah ucapan awal tahun dalam bahasa Jepun?

Oh ya, jika anda ada rakan-rakan di Nihon, cubalah menghantar poskad dengan ucapan tahun baru kepada mereka, ya. Pasti mereka terkejut dan gembira mendapat perkhabaran dari anda. Ucapan tahun baru yang biasa digunakan ialah “Akemashite Omedetou Gozaimasu”  dan “Shinnen Omedetou Gozaimasu” , di mana kedua-duanya bermaksud “Selamat Tahun Baru”.

Dan, di tempat kerja pula, di samping menghantar ucapan melalui media sosial,  kita juga boleh ucapkan “Akemashite Omedetou Gozaimasu” buat ketua mahupun rakan sekerja nihonjin apabila masuk sahaja bekerja selepas cuti tahun baru.

Ya, semakin nenmatsu menghampiri,  masa turut berlalu, tahun silih berganti, umur kita pula bertambah. Apakah kita memandang  sahaja ke hadapan tanpa menoleh ke belakang? Ataupun kita menoleh ke belakang sambil mengutip apa yang perlu, dan jadikan ia sebagai pemangkin untuk meneruskan hidup kita?

Saya harapkan anda semua akan membuka lembaran baru pada 2020 dengan lebih berkeyakinan dan mempunyai perancangan yang baik untuk meningkatkan diri dan amalan, seterusnya mendapat kesejahteraan dalam hidup.

Jika anda mahu lagi belajar nihongo dengan lebih mendalam dan bersistem, sila layari laman sesawang saya ini , okay! Yoroshiku onegai shimasu ~

sila klik di sini >>> www.azlansensei-e-learning.com/p/kelas-jepun-online

Sekian sahaja topik santai kita untuk kali ini.   Genki de, mata ne~ (Ceria selalu, sehingga berjumpa lagi~ ).

www.azlansensei.com

About the author: AzlanSensei ™

Keadah pembelajaran bahasa Jepun yang dibuat khas untuk pelajar dewasa dengan menggunakan kaedah unik yang dinamakan sebagai ASSIIM (Azlan Sensei Special Indirect & Integrated Method)