Bagi anda yang bekerja di nihongaisha (syarikat Jepun) terutamanya, pasti anda selalu mendengar ada yang menyebut kata-kata atau ucapan ‘otsukaresama deshita’ seperti di atas. Apakah maksud perkataan ini sebenarnya?
Mina-san (anda semua),
Ogenki desu ka (apa khabar)? Selamat kembali bekerja, mahupun meneruskan rutin harian anda di dalam norma baharu. Dou deshita ka (bagaimana)? Tsukarete imasuka (adakah anda penat)? Otsukaresama deshita.
Baiklah, jika kita melihat pada tulisan kanji bagi ‘otsukaresama’ , ia ditulis sebagai お疲れ様, di mana perkataan ‘otsukare’ di dalam perkataan ini adalah sama dengan perkataan ‘tsukaremasu’ 疲れます, yang bermaksud penat/tired. Manakala ‘sama’ 様 itu pula merujuk kepada ganti nama yang honorifik untuk orang yang kita hormat / orang yang lebih tinggi pangkatnya / orang yang lebih berumur (senior).
Jadi, adakah maksud ‘otsukaresama’ itu ialah ‘anda penat’ ? Tidak, dalam konteks ini, maksudnya tidak didefinasikan sedemikian.
Untuk pengetahuan mina-san, nihongo ini bahasanya halus, di mana terdapat banyak kotoba (perkataan) yang mempunyai maksud yang mendalam mahupun tersirat. Salah satunya ialah ‘otsukaresama’ ini.
Di sebalik penggunaan perkataan ‘penat’ itu, ia sebenarnya membawa pengertian yang ke arah menghargai ‘penat’ , yakni usaha seseorang dalam bekerja. Dalam ertikata lain, ‘otsukaresama’ bermaksud ‘terima kasih di atas penat/usaha anda bekerja hari ini’. Jika dalam eigo (bahasa Inggeris), maksudnya ‘thank you for your effort’.
Penggunaan ‘otsukaresama’ boleh diungkapkan secara ‘otsukaresama desu’ atau ‘otsukaresama deshita’, bergantung kepada situasi, di mana ‘desu’ialah bentuk present tense dan ‘deshita’pula ialah past tense.
Tetapi, pada waktu bila pula perkataan ‘otsukaresama’ ini digunakan? Mari kita lihat beberapa situasi bilakah kita perlu menggunakan perkataan ‘otsukaresama’ ini ya.
- Ketika bekerja secara berkumpulan
Bekerja secara berkumpulan ini mungkin melibatkan aktiviti seperti mesyuarat, taklimat ringkas, kerja bergilir dan melakukan 5S di tempat kerja.
Sebelum memulakan tugasan secara berkumpulan, kita boleh ucapkan ‘otsukaresama desu’ kepada rakan sekerja yang lain, sebagai tanda kita menghargai usaha mereka bekerja untuk hari itu.
Boleh jadi juga ketika kita sedang mendengar mahupun memberi taklimat ringkas, ada rakan sekerja yang lewat menyertai mesyuarat disebabkan terpaksa menyelesaikan masalah yang berlaku di tempat lain, kita boleh juga ucapkan ‘otsukaresama desu’ ini kepada yang berkenaan apabila dia masuk menyertai kumpulan yang sedang bermesyuarat.
Begitu juga ketika mengakhiri sesuatu ucapan atau taklimat ringkas, kita boleh menyebut ‘Mina-san, doumo arigatou gozaimasu. Otsukare sama deshita’ (Anda semua, terima kasih. Terima kasih atas penat/usaha bekerja anda’). Situasinya boleh jadi ketika di perhimpunan bulanan, taklimat penutupan audit dan di latihan perhimpunan kecemasan.
Dari sini, kita boleh lihat bahawa penggunaan ‘otsukaresama’ berfungsi sebagai satu ucapan yang membawa aura yang positif dalam semangat kerja berpasukan, kerana semua ahli akan merasa dihargai secara tidak langsung.
- Sebelum Pulang
Apabila waktu kerja tamat, dan sebelum meninggalkan tempat kerja, ucapan ‘otsukaresama desu’ juga menjadi satu kebiasaaan untuk diucapkan kepada rakan sekerja. Walau bagaimanapun, jika anda meninggalkan tempat kerja terlebih dahulu daripada rakan sekerja mahupun ketua/superior anda, adalah dinasihatkan supaya anda tidak mengucapkan ‘otsukaresama desu’ kepada mereka. Ini adalah kerana ia nampak kurang sopan (orang lain masih belum pulang, masih berusaha bekerja, tetapi anda telah angkat kaki untuk pulang), di samping menjaga keharmonian di tempat kerja.
Jadi, mahu ucap apa pula? Adakah pulang begitu sahaja? Tidak. Sebaliknya, jika kita pulang dahulu berbanding orang lain, kita ucapkan ‘osaki ni shitsurei shimasu’ おさきにしつれいします (kanji : お先に失礼します). Secara amnya, ia bermaksud ‘saya pulang dahulu’. Secara halus pula, maksudnya ‘maafkan saya kerana saya pulang dahulu’. Dan, mereka yang mendengar ucapan ini akan menjawab ‘otsukare sama deshita’.
Adakah anda kurang faham? Lihat contoh di bawah ini ya. Mudah sahaja. Situasinya, A san pulang dahulu dan B masih di tempat kerja.
A san : Osaki ni shitsurei shimasu.
B san : Otsukare sama deshita.
Okay, wakarimashita ka (adakah anda telah faham?). Cubalah belajar menggunakannya, ya!
Selain daripada dua situasi di atas, ‘otsukaresama desu’ juga boleh diucapkan di dalam situasi seperti :
- Bercakap di telefon … di awal atau di akhir perbualan. Kita menyantuni orang yang sedang bercakap di talian. Ia juga menjadi satu etika ketika berkomunikasi di telefon.
- Di dalam emel … sekiranya isi kandungan emel melibatkan usaha seseorang/sekumpulan orang yang melakukan tugasan, kita boleh menulis ‘otsukaresama deshita’ di akhir emel, sebagai menghargai usaha mereka yang berkenaan.
- Ketika ada yang membantu meringankan kerja-kerja di pejabat … di tempat kerja, kita ada pekerja pembersihan dan pekerja yang memindahkan barang berat. Kita boleh ucapkan ‘otsukaresama desu’ kepada mereka, sebagai tanda terima kasih.
- Ketika keluar makan atau minum bersama rakan sekerja selepas tamat waktu kerja … ucapan ‘otsukaresama deshita’ secara beramai-ramai membawa pengertian yang setiap orang meraikan penat bekerja mereka pada hari berkenaan.
Itulah serba sedikit perkongsian dari saya tentang entri pada kali ini. Yang saya kongsikan di atas adalah aplikasi bagi ‘otsukaresama’ di tempat kerja. Mungkin kedengaran kekok, tetapi jika kita mengamalkannya, ia dapat membantu dalam membina persekitaran kerja yang harmoni dan positif.
Oh ya, selain dari tempat kerja, ‘otsukaresama’ juga boleh diaplikasikan dalam urusan kehidupan seharian, umpama nya :
- Anak-anak yang telah meluangkan masa untuk membuat tugasan mahupun kerja rumah sewaktu cuti, ucapkan ‘otsukaresama deshita’ kepada mereka.
- Jika ada pekerja yang datang untuk servis atau membaiki alatan letrik yang rosak di rumah kita, selesai sahaja tugas mereka, kita ucapkan ‘otsukaresama deshita’.
- Kepada pekerja penghantaran barang mahupun makanan , ucapkanlah ‘otsukaresama deshita’ kepada mereka.
- Jika kita melalui satu tempat di mana ada pekerja pembersihan sedang melakukan kerja mereka, ucapkan ‘otsukaresama desu’.
Yang saya maksudkan di sini, ‘otsukaresama desu’ = terima kasih. Ucapkan sahaja terima kasih atas penat mereka melakukan tugasan yang diberikan. Dalam bahasa kita mungkin tiada ungkapan yang sesuai bagi ‘otsukaresama’ ini, tetapi terima kasih adalah sangat memadai. Kita hargai orang lain dengan hanya berterima kasih, mudah-mudahan hidup kita juga akan dihargai oleh orang lain. Tak susah, dan tak kena bayar pun, betul tak?
Saya harap anda telah belajar sesuatu mahupun mendapat pengetahuan yang baru di dalam nihongo melalui perkongsian saya ini. Jika mahu belajar lagi dengan lebih mendalam dan bersistem, sila layari laman sesawang saya ini , okay! Yoroshiku onegai shimasu ~

Sekian sahaja topik santai kita untuk kali ini. Genki de, mata ne~ (Ceria selalu, sehingga berjumpa lagi~ ).