terima kasih dalam bahasa jepun

Ucapan terima kasih dalam bahasa Jepun yang ‘special’

Mina-san (anda semua), Ogenki desuka (apa khabar)? Untuk pengetahuan anda, sebenarnya terdapat ucapan terima kasih dalam bahasa Jepun selain daripada ‘arigatou gozai-masu’. Dan anda mungkin telah maklum, terdapat pelbagai perkataan atau frasa yang maksudnya merangkumi skop yang meluas di dalam nihongo. Antaranya ialah seperti yang pernah saya wacanakan dalam entri-entri saya yang lalu, iaitu ungkapan meminta maaf ‘sumi-masen’ dan ‘gomennasai’.

Kali ini, saya ingin sentuh tentang ucapan terima kasih dalam bahasa Jepun , dan bagaimana kita menyantuni terima kasih ini di dalam nihongo (bahasa Jepun). Saya rasa ramai yang tahu bahawa maksud terima kasih dalam nihongo adalah ‘arigatou gozai-masu’. Walaubagaimanapun, arigatou gozai-masu ini penggunaannya adalah lebih kepada kepada kita berkata terima kasih atas sesuatu yang kita dapat. Contohnya rakan kita berikan kita omiyage (ole-ole) coklat, jadi kita beritahu dia arigatou gozai-masu. Cuma, ada lagi ungkapan lain yang memberi maksud terima kasih dalam skop yang lebih meluas di dalam nihongo, iaitu ‘osewa ni nari-masu’.

Secara asasnya, ‘sewa’ atau ‘osewa’ bermaksud ‘menjaga , menolong, memberi bantuan’. Jika ditukar ke dalam bentuk kata kerja, ia akan menjadi ‘osewa wo shi-masu’. Manakala ‘osewa ni nari-masu’ pula adalah kata kerja pasif, yang membawa maksud ‘menerima pertolongan, menerima bantuan, terhutang budi’. Jadi, apa kaitannya ‘osewa ni nari-masu’ ini dengan terima kasih?

Jika anda ingin tahu, ‘osewa ni nari-masu’ adalah satu ungkapan formal yang digunakan ketika kita ingin menyatakan perasaan terima kasih mahupun penghargaan kepada usaha orang lain yang membantu kita dalam melakukan sesuatu.

Oleh kerana ianya adalah ungkapan yang formal, biasanya ia tidak digunakan sesama ahli keluarga ataupun kenalan rapat (walaupun kekadang ada juga pengecualian, bergantung kepada keadaan).

Selalunya ungkapan ini digunakan di dalam urusan rasmi atau urusan seharian di tempat kerja, samada secara percakapan atau melalui media seperti emel dan surat menyurat.

Secara lebih lanjut, menggunakan ungkapan ‘osewa ni nari-masu’ di permulaan bicara atau penulisan akan membawa maksud ‘terima kasih di atas sokongan,usaha dan kerjasama anda’. Ada juga yang menambah perkataan ‘itsumo’ (selalu, always) di hadapannya, menjadi ‘itsumo osewa ni narimasu’, yang bermaksud ‘terima kasih sentiasa di atas sokongan, usaha dan kerjasama anda’.

Untuk lebih sopan, kita boleh menggunakan ‘osewa ni natte-orimasu’ atau ‘itsumo osewa ni natte-orimasu’. Kita gunakan ini dalam situasi orang tersebut kedudukannya lebih tinggi atau lebih berumur dari kita, sebagai tanda hormat.

Baik, kepada siapakah ungkapan ini sesuai digunakan? Ya, kita harus menggunakan ungkapan ini kepada mereka yang membantu urusan kita, seperti :

Orang yang kita berurusan dengan mereka di tempat kerja (contoh : orang atasan, pelanggan, pekerja di cawangan lain).

Kita boleh ucapkan ‘osewa ni narimasu’ ketika berjumpa dengan yang berkenaan ini di dalam mesyuarat. Kemudian, mulakan lah mesyuarat.

Kita tulis ‘osewa ni narimasu’ di rangkap pertama pada permulaan emel. Selepas itu sambunglah kandungan emel anda.

Guru, cikgu, lecturer atau tenaga pengajar yang lain

Apabila berjumpa dengan guru (tidak kira guru sekolah atau pensyarah, guru kita atau guru anak kita), ucapkanlah ‘osewa ni narimasu’.

Doktor, jururawat.

Apabila kita ke hospital atau klinik, ucapkanlah ‘osewa ni narimasu’ sebelum menerima rawatan dari mereka.

Walaubagaimana pun, ada sedikit pengecualian untuk ‘osewa ni narimasu’, kerana penggunaannya juga bergantung kepada situasi, iaitu :

Bergantung kepada situasi, ada kalanya kita boleh ucapkan ‘osewa ni nari-masu’ apabila terjumpa secara kebetulan dengan seseorang yang pernah membantu kita. Contohnya mungkin kita berjumpa dengan bekas pengurus di tempat kerja kita secara tidak sengaja , jadi kita boleh ucapkan ‘osewa ni narimasu’ kepada dia sebelum kita memanjangkan perbualan.

Jika di tempat kerja, kita tak ucapkan ungkapan ini kepada orang bawahan secara terus. Di situasi ini kita akan menggunakan perkataan ataupun ayat yang lain.

Jika kita terjumpa dengan ahli keluarga atau kenalan kepada orang yang membantu kita, maka kita boleh ucapkan ‘osewa ni narimasu’ sebagai ganti (on behalf). Contohnya ketua kita bernama Tanaka, dan ketika berjumpa dengan ahli keluarganya, kita boleh kata “Tanaka-kachou ni wa itsumo osewa ni nari-masu” (maksud nya di sini ialah “Saya selalu menerima pertolonan dari Pengurus Tanaka. Terima kasih”).

Untuk ahli keluarga / kenalan rapat / orang bawahan, ‘osewa ni nari-masu’ boleh diucapkan sebagai ganti. Contoh, sekiranya anak anda menumpang kereta kenalan ketika pulang dari sekolah, anda boleh berkata kepada kenalan anda itu “musume ga itsumo osewa ni nari-masu” (bermaksud “anak perempuan saya telah menyusahkan awak . Terima kasih kerana menumpangkan dia”).

Di samping itu, ‘osewa ni narimasu’ juga digunakan ketika kita mula-mula memperkenalkan diri kepada seseorang atas urusan pekerjaan, mengikuti sesuatu pembelajaran atau menyertai sesuatu aktiviti yang melibatkan kita akan mendapat bantuan atau kerjasama dari individu/mereka yang berkenaan. Cuma perlu tambahkan ‘kore kara’ sahaja di hadapannya . Kore kara bermaksud ‘mulai sekarang’. Contohnya nama anda ialah Zainal, maka anda boleh berkata “Zainaru desu. Kore kara osewa ni nari-masu”. Di sini, ‘kore kara osewa ni nari-masu’ membawa maksud ‘terima kasih atas tunjuk ajar yang akan diberikan mulai sekarang’. Perasan tak, pengertiannya sama maksud jika kita ucapkan ‘kore kara yoroshiku onegai shimasu’. Jadi, ada dua pilihan untuk anda gunakan ya.

sila klik di sini >>> www.azlansensei-e-learning.com/p/kelas-jepun-online

Bagaimana pula dengan ‘osewa ni narimashita’ (bentuk past tense)?

Adakah ia juga membawa maksud yang sama? Ya, ia juga membawa maksud yang sama. Disebabkan ianya adalah past tense, maka penggunaannya adalah merujuk kepada perasaan terima kasih mahupun penghargaan kepada usaha orang lain yang telah membantu kita. Juga,untuk menyatakan bahawa kita mungkin telah menyusahkan orang tersebut ketika dia membantu kita. Mari kita lihat beberapa contoh untuk ‘osewa ni narimashita’.

Ketika menyertai program bersama keluarga angkat, anda telah tinggal bersama mereka untuk beberapa hari. Apabila tiba waktu untuk anda mengucapkan selamat tinggal, anda boleh mengatakan ‘osewa ni narimashita’ kepada keluarga angkat anda.

Anda dimasukkan ke hospital untuk seketika waktu bagi menerima rawatan. Setelah sembuh, ketika discaj, anda boleh mengucapkan ‘osewa ni narimashita’ kepada doktor, jururawat dan petugas hospital.

Anda mengikuti latihan sambil bekerja di Jepun (nihon). Ketika hendak pulang, ucapkanlah ‘osewa ni narimashita’ kepada mereka yang telah melatih anda.

Saya harap anda telah faham sedikit sebanyak tentang penggunaan frasa ’osewa ni narimasu’ dan juga ‘osewa ni narimashita’ di dalam nihongo melalui perkongsian saya pada kali ini. Begitulah caranya menyantuni ucapan terima kasih dalam bahasa Jepun ini, di mana kita tidak akan dapat lari dari menggunakannya di dalam urusan seharian kita.

Jika mahu belajar lagi dengan lebih mendalam dan bersistem, sila layari laman sesawang saya ini , okay! Yoroshiku onegai-shimasu ~

Sekian sahaja topik santai kita untuk kali ini. Genki de, mata ne~ (Ceria selalu, sehingga berjumpa lagi~ ).

www.azlansensei.com

About the author: AzlanSensei ™

Keadah pembelajaran bahasa Jepun yang dibuat khas untuk pelajar dewasa dengan menggunakan kaedah unik yang dinamakan sebagai ASSIIM (Azlan Sensei Special Indirect & Integrated Method)